“Misi Kami Bawa Kek..” – Tema Bollywood, Fazura & Fattah Beri Kejutan Pada Tengku Permaisuri Selangor

Pasangan selebriti sejoli Nur Fazura dan Fattah Amin diundang sebagai kejutan bagi meraikan hari ulang tahun kelahiran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam sebuah majlis peribadi bertemakan Bollywood.

Menurut Fazura, pada awalnya mereka diundang sebagai hadiah kejutan dengan membawa sebiji kek kepada Tengku Permaisuri.

Namun ketika momen tersebut berlangsung, mereka berdua pula yang rasa terkejut melihatkan reaksi Tengku Permaisuri yang cukup teruja dengan kehadiran mereka.

Jelas ibu kepada seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya itu lagi, dia terpesona melihat perhubungan Tengku Permaisuri bersama baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sangat luhur dan pasangan Diraja itu cukup merendah diri.

“Faz dan Fattah berpeluang menghadiri majlis sambutan peribadi untuk DYMM Tengku Permaisuri Selangor. Tema majlis adalah Bollywood, tema yang sangat meriah.

“Faz dan Fattah adalah antara hadiah kejutan kepada DYMM Tengku Permaisuri pada majlis tersebut. Misi kami membawa kek untuk memberikan kejutan manis kepada Tengku Permaisuri. Itulah cadangannya.

“Namun ketika membawa kek menuju ke hadapan baginda sambil diiringi myanyian ‘happy birthday’, dapat dirasakan yang sedang mengalami kejutan adalah kami berdua.

“Dapat lihat Tengku Permaisuri sangat berkenan dan sukacita dengan kehadiran kami,” ujar Fazura di menerusi satu hantaran di laman Instagramnya.

“Kami pulang dari majlis membawa pelbagai kenangan manis yang tak akan dilupakan.

“Yang paling tersemat di hati kami ialah baginda Tuanku berdua is such a lovely and loving couple, warm and humble. Kami sangat kagum, sebagai contoh kepada kami,” jelas Fazura lagi.

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata wargamaya memberikan pujian terhadap penampilan Fazura yang kelihatan persis seorang puteri dari India.

Bukan sahaja itu, ramai yang suka melihat keakraban pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu bersama Tengku Permaisuri.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 55,000 tanda suka daripada pengikutnya.

Terdahulu, hubungan baik antara Tengku Permaisuri dengan Fazura bukan lagi perkara asing dalam kalangan netizen selepas dia beberapa kali menerima hadiah istimewa daripada isteri kepada Sultan Selangor itu.

Sebelum ini, Tengku Permaisuri berkenan mengenakan tudung daripada jenamanya iaitu Tudung Fazura.

Komen netizen:
  

Sumber: Gempak

Leave a Reply

Your email address will not be published.